PENGUNDI CINA TETAP MENYOKONG YB ARIF SHAH


Peruntukan RM1.2 juta untuk sekolah Cina bukan untuk pancing undi

Oleh Bernama
Rabu, 20 Ogos 2008


PERMATANG PAUH: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong hari ini berkata peruntukan berjumlah RM1.2 juta yang diluluskan kementerian itu untuk enam sekolah Cina di Permatang Pauh adalah 'kebetulan' dan tiada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu.

Beliau berkata permohonan daripada sekolah berkenaan diterima pada Jun dan Julai lepas dan dengan kelulusan yang diberikan itu setiap sekolah itu akan menerima peruntukan RM200,000 bagi membaikpulih atau menaiktaraf kemudahan sekolah masing-masing sepertimana yang dikemukakan dalam permohonan mereka.

"Pihak kementerian turut meluluskan peruntukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Prai dan SJKT Mak Mandin masing-masing sebanyak RM50,000 untuk kerja-kerja baikpulih walaupun kedua-dua sekolah bukan dalam kawasan Permatang Pauh.

"Ini membuktikan bahawa kita bukan memberi kelulusan atau memberi peruntukan kepada kawasan Permatang Pauh saja," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek kepada enam wakil sekolah Cina berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Sungai Lembu dekat sini.

Beliau mengulas pertanyaan kemungkinan pemberian peruntukan itu akan dikaitkan pembangkang sebagai usaha BN memancing undi di Permatang Pauh.Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai dan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil itu Datuk Arif Shah Omar Shah.